Isnin, 28 November 2011

PRINSIP kERJA X-PLUS KPPM


Prinsip Kerja X-PLUS KPPM
Setiap pasukan profesional pendidik dan pegawai pendidikan perlu menerapkan budaya prestasi tinggi berasaskan PRINSIP KERJA X-PLUS.Inilah prinsip kerja kaum profesional era GTP (Pelan Tranformasi Kerajaan) dan ETP (Pelan Tranformasi Ekonomi) : memaksimumkan impak penyampaian perkhdimatan dalam bentuk keberhasilan kerja aras cemerlang (excellence) berteraskan pengetahuan, latihan, usaha dan semangat sepasukan. Inilah prinsip kerja X-PLUS.
Dengan prinsip kerja ini diharapkan setiap individu pendidikan dan pegawai pendidikan di segenap segmen dalam organisasi dan jentera pendidikan negara dapat merekayasa (reengineer) dan meneroka inisiatif baharu dalam cara-cara melakukan kerja dan menginovasi program atau aktiviti baharu bagi melengkapi program atau aktiviti sedia ada.
Prinsip Pertama : CEMERLANG (EXCELLENCE)
Inilah kayu ukur keberhasilan kerja setiap individu. Cemerlang atau excellence berbeza dengan kualiti. Kualiti bermaksud memenuhi kehendak pelanggan, yakni menepati ketetapan kerja, mematuhi tuntutan perkhidmatan, mengikuti sepenuhnya perencanaan dan strategi, menyempurnakan tugasan pegawai atasan, dan mencapai sasaran kerja tahunan. Walhal cemerlang bermaksud 'go beyond', yakni memenuhi kehendak yang tidak terungkap oleh pelanggan, menangani cabaran yang belum tiba, dan melepasi rekod sedia ada. Cemerlang bermakna melepasi aras kualiti, melepas pencapaian terbaik sebelum ini, mewujudkan aras pencapaian baharu untuk dikejar oleh pesaing.
Cemerlang dalam konteks berfikir dan meneroka pelbagai pilihan penyelesaian bererti "think the unthinkable" dan "reasson the unreasonable". Halangan kecemerlangan ialah batasan kemahuan dan batasan imaginasi. "Every school is a good school, tiada sekolah kecuali yang terbaik". Inilah tuntutan rakyat kepada Kerajaan dan Kerajaan mengamanahkan tanggungjawab ini kepada jentera pendidikan negara.
Prinsip Kedua : PENGETAHUAN
Faktor utama produktiviti bukan lagi bilangan pekerja, teknologi dan peruntukan yang banyak, faktor utama produktiviti ialah maklumat dan pengetahuan. Cara bekerja, cara mengajar dan cara mengurus pengajaran dan pembelajaran dalam era ini bukan lagi sesuatu yang rutin, berulang-ulang dan rigid, tetapi sarat dengan kepelbagaian cara dan gaya, tidak berulang-ulang, mencabar daya upaya setiap orang dalam menggunakan kebijaksanaan, budi bicara, penilaian dan pertimbangan.
Maka urusan memimpin, mengurus, merancang, melaksana dan memantau wajiblah berasaskan pengetahuan (knowledge-based) bukan berpandukan kebiasaan atau mengikut rutin atau memenuhi kepentingan diri sendiri. Demikian juga berfikir, bercakap, menulis dan bertingkah laku hendaklah berasaskan pengetahuan, bukan berpandukan perasaan, emosi, kebiasaan dan ketaksuban. Pekerjaan mendidik, melatih, mengasuh, membimbing, mengajar dan menilai mestilah berdasarkan pengetahuan, bukan kebiasaan atau rutin.
Prinsip Ketiga : LATIHAN
Latihan bermaksud belajar sepanjang hayat untuk mempertajam keupayaan melaksanakan tanggungjawab semasa dan mempersiap keupayaan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar. Latihan bermakna bina upaya yang berterusan, bukan sekadar memenuhi ketetapan perkhidmatan. Latihan bererti bersedia untuk berubah, bersedia untuk melaksanakan idea baharu, bersedia untuk menggunakan cara gaya baharu dalam menyempurnakan tanggungjawab, bersedia menjayakan transformasi.
Prinsip Keempat : USAHA
Usaha berbeza dengan kerja. Usaha bermaksud berikhtiar seupaya mungkin dengan menggunakan pelbagai sudut pemikiran, sumber dan kreativiti dan inovasi demi menyempurnakan misi dan mencapai objektif. Usaha bermaksud "go extra mile". Sedangkan 'kerja' bermaksud melaksanakan tugas sebagaimana yang ditetapkan atau diarahkan. Kerja mengutamakan kepatuhan kepada arahan. Usaha mengutamakan matlamat dan objektif. Ukuran kerja ialah kecekapan. Ukuran usaha ialah keberkesanan.
Guru dan ketua guru perlu melihat sukatan pelajaran dari sudut pembelajaran. Demikian juga matlamat murid menghadiri persekolahan. Murid ingin belajar dan berubah ke arah kemajuan, bukan untuk membantu guru dan ketua guru menghabiskan sukatan pelajaran. Usaha menuntut pendidik dan pegawai pendidikan berfikir. Dengan kecukupan usaha, dengan kesungguhan berikhtiar, daya fikir akan berkembang, imaginasi menjadi terang dan kreativiti akan bertandang - matlamat dan objektif menjadi kenyataan.
Prinsip Kelima : SEPASUKAN
Sepasukan bermaksud komited kepada nilai, visi, misi dan matlamat organisasi dan mengetepikan kepentingan diri dan perasaan peribadi. Ciri kepimpinan wajib sentiasa terpamer dan dipraktikkan oleh setiap orang. Bekerja sepasukan menuntut kehadiran altruisme dalam pengurusan, pentadbiran dan pelaksanaan operasi. Altruisme menjamin keakraban anggota pasukan kepada misi organisasi dan organisasi pula mampu menjana kesejahteraan kepada setiap anggota kumpulan.
Tanggungjawab pemimpin sekolah adalah untuk mencegah fenomena "alienated labor", pemencilan guru dan pemencilan pekerja sekolah daripada visi, misi dan objektif kewujudan sekolah sebagai institusi pembelajaran. Bekerja sebagai satu pasukan juga mengizinkan penyuburan pengurusan kendiri atau swaurus (self-management). Individu profesional menerima tanggungjawab dan mengambil inisiatif, mengawal dan memantau pekerjaannya, dan menjadikan pengurus dan peenyelianya sebagai mentor dan fasilitator. Sandaran pengurusan kendiri ialah setiap profesional memiliki kompetensi, keyakinan diri dan kebolehan berdikari. Dengan demikian, profesional akan bekerja dengan lebih cekap dan berusaha dengan lebih gigih sekiranya mereka diberikan ruang dan kepercayaan mengurus diri sendiri.

Buku Pengurusan Sekolah dalam pembikinan....terima kasih diatas kerjasama guru-guru dan Jawatankuasanya yang telah menyumbangkan tenaga dan idea dalam menyiapkan Buku Panduan Pengurusan Sekolah 2012. Dengan beberapa perubahan dan editan terakhir, diharap ianya dapat dikeluarkan mengikut jadual yang ditetapkan...
Insyaallah.